Dalam Ibadah Umrah/haji, setiap Jemaah perlu mematuhi larangan-larangan Ihram setelah berniat di Miqat sebagai syarat wajib ibadah. Dalam Ihram, cara pemakaian adalah antara perkara yang perlu dipatuhi. Pakaian Ihram yang sering dikenakan oleh Jemaah lelaki adalah dua helai kain yang tidak berjahit manakala bagi Jemaah perempuan ialah telekung seperti dalam solat. Terdapat 13 larangan dalam Ihram yang perlu dipatuhi oleh setiap Jemaah lelaki dan wanita ketika melaksanakan ibadah Umrah/Haji. Jika jemaah melakukan larangan-larangan dalam Ihram ada denda/dam yang akan dikenakan mengikut jenis larangan yang dilanggar. 

Secara umumnya pantang larang dalam Ihram boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

  1. Larangan yang dikhususkan kepada lelaki sahaja
  2. Larangan yang dikhususkan kepada wanita sahaja
  3. Larangan umum (lelaki dan wanita)

LARANGAN YANG DIKHUSUSKAN BAGI LELAKI SAHAJA

1. Memakai pakaian bersarung/berjahit/bercantum seperti seluar, baju kemeja, stokin, kasut yang menutup jari-jari dan tumit, kain pelikat dan sebagainya.

Perkara-perkara berikut diharuskan dipakai oleh para jemaah lelaki tanpa dikenakan dam:

  • Memakai kain tuala
  • Memakai kain pelikat lepas yang tidak bercantum antara dua penjurunya
  • Memakai tali pinggang, cincin dan kaca mata

Sekiranya seorang lelaki yang berada dalam ihram memakai pakaian yang dilarang kerana terlupa atau tidak sengaja, hendaklah dia menanggalkan pakaian tersebut dengan segera apabila dia ingat atau diberi ingat. Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Sekiranya dia melengah-lengahkan dalam keadaan dia mampu berbuat demikian dia dikenakan dam takhyir dan takdir.

Sekiranya seorang lelaki dalam ihram ada keperluan untuk memakai pakaian yang dilarang dia tidak berdosa tetapi wajib keatasnya untuk membayar dam.

2. Menutup kepala atau sebahagian daripadanya seperti songkok, kopiah, serban, kain ihram dan sebagainya.

Seorang lelaki semasa dalam ihram diharuskan melakukan perkara-perkara tersebut tanpa dikenakan dam:

  • Mengunakan payung
  • Berteduh di bawah pokok
  • Berteduh di bawah khemah

Sekiranya seorang lelaki yang berada dalam ihram memakai pakaian yang dilarang dalam kategori ini kerana terlupa atau tidak sengaja, hendaklah dia menanggalkan pakaian tersebut dengan segera apabila dia ingat atau diberi ingat. Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Sekiranya dia melengah-lengahkan dalam keadaan dia mampu berbuat demikian dia dikenakan dam takhyir dan takdir.

LARANGAN YANG DIKHUSUSKAN BAGI WANITA SAHAJA

3. Menutup muka

Sekiranya seorang wanita yang berada dalam ihram menutup muka dengan kain atau sebagainya kerana terlupa atau tidak sengaja, hendaklah dia menanggalkannya dengan segera apabila dia ingat atau diberi ingat. Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Sekiranya dia melengah-lengahkan dalam keadaan dia mampu berbuat demikian dia dikenakan dam takhyir dan takdir.

Sekiranya wanita dalam ihram ada keperluan untuk memakai penutup hidung dan mulut (mask) dia tidak berdosa tetapi wajib dikenakan dam.

Seorang wanita yang berada dalam ihram boleh menutup muka dan hidungnya dengan tangan untuk mengelakkan habuk daripada masuk ke dalam hidung dan mulutnya tanpa wajib dikenakan dam.

LARANGAN UMUM (LELAKI & WANITA)

4. Memakai sarung tangan

Larangan ini adalah dikenakan untuk lelaki dan wanita. Untuk larangan ini masih dibolehkan melindungi tangan disebalik kain tudung atau kain ihram

5. Memakai bau-bauan di bahagian badan, makanan, minuman atau menghidunya ke dalam hidung

Lelaki dan wanita yang berada dalam ihram diharuskan menggunakan bahan tersebut tanpa dikenakan dam:

  • Ubat gigi, sabun dan shampoo
  • Minyak angin

Walaupun bahan-bahan ini berbau wangi, tetapi dibenarkan kerana bertujuan untuk kebersihan bukan untuk berwangi-wangian.

Sekiranya dia memakai atau menghidu bau-bauan secara tidak sengaja atau terlupa atau ada orang lain mencalit atau menyembur wangian tanpa kerelaanya hendaklah segera dihilangkan kesan bau-bauan tersebut. Dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Sekiranya dia melengah-lengahkan dia dikenakan dam takhyir dan taqdir dan berdosa.

Elakkan menyentuh atau berada berdekatan dengan kaabah kerana kelambu kaabah terdapat wangian dikhuatiri melekat pada tubuh dan kain ihram atau terhidu wangian tersebut.

6. Memakai minyak di kepala, janggut dan semua bulu muka selain daripada yang tumbuh di pipi dan dahi

Sekiranya seseorang yang berada dalam ihram umrah memakai minyak pada bahagian tubuh yang tidak dibenarkan kerana terlupa atau tidak sengaja hendaklah dia menghilangkan kesan minyak tersebut dengan segera apabila dia ingat atau diberi ingat. Sekiranya dia melengah-lengahkan dia dikenakan dam takhyir dan taqdir dan berdosa.

7. Menanggalkan rambut atau bulu daripada mana-mana anggota badan

Jika seseorang berada dalam ihram menanggalkan rambut atau bulu secara sengaja ataupun tidak atau terlupa, dia tetap dikenakan dam takhyir dan taqdir. Tidak berdosa jika tidak sengaja atau terlupa, tetapi berdosa jika dilakukan dengan sengaja.

Jika rambut atau bulu tertanggal dengan sendiri, maka tidak dikenakan dam seperti jemaah wanita membuka serkup tudung dan didapati ada rambut yang tertanggal atau terdapat rambut yang tertanggal di atas tilam dan bantal ketika bangun dari tidur.

8. Mengerat atau memotong kuku

Jika seseorang berada dalam ihram mengerat atau memotong kuku secara sengaja ataupun tidak atau terlupa, dia tetap dikenakan dam takhyir dan taqdir. Tidak berdosa jika tidak sengaja atau terlupa, tetapi berdosa jika dilakukan dengan sengaja.

Jika tertanggal sendiri tidak dikenakan dam. Boleh mencabut kuku jika mengganggu dan tidak dikenakan dam seperti kuku pecah disebabkan tersepit.

Hukumnya Harus jika mencabut kulit bibir, kaki dan tangan yang mengelupas tanpa dikenakan dam.

9. Memotong/ menebang/ mengerat/ mencabut pokok-pokok di Tanah Haram Mekah

Pengharaman memotong, menebang, mengerat atau mencabut pokok-pokok di Tanah Haram adalah berkait dengan pantang-larang yang tidak boleh dilakukan dalam Tanah Haram itu sendiri bukannya berkait dengan keadaan seseorang itu berada dalam ihram umrah/haji.

10. Memburu binatang buruan darat yang halal dimakan atau membinasakannya di Tanah Halal atau Haram

Seseorang itu diharuskan membunuh nyamuk, lalat dan labah-labah jika serangga-serangga tersebut mengganggunya tanpa dikenakan dam.

11. Melakukan pendahuluan persetubuhan

12. Bersetubuh

13. Berkahwin atau mengahwinkan atau menerima wakil kahwin

Kesimpulannya, terdapat larangan yang tidak sengaja dilakukan dan tidak perlu membayar dam. Terdapat juga larangan yang tidak sengaja dilakukan tetapi tetap dikenakan dam. Larangan-larangan ini nampak seperti remeh dan menyusahkan tetapi ada hikmah yang Allah ingin tunjukkkan.  Antara hikmah terbesar kenapa terdapat larangan Ihram dalam ibadah Umrah/Haji adalah Allah ingin mendidik hambanya untuk disiplin dan peka dalam Ibadah. Selain itu, hikmah pakaian Ihram yang dikenakan kepada para jemaah sebagai tanda setiap manusia itu adalah setaraf tidak kira pangkat atau harta. Perkara yang membezakan mereka hanyalah Taqwa. Semoga bermanfaat. Silakan share kepada rakan-rakan supaya maanfaat dapat dikongsi bersama. 

by Umair Zanil

Untuk Pendaftaran Pakej Umrah berlesen bersama Salsabila Aflah Tours & Travel boleh tekan link berikut untuk perincian: https://salsabilaaflah.com/pakej-umrah/

Baca Artikel Lain: