Pakej Pulau Mersing

Adakalanya bila fikiran kita lelah memikirkan kerja-kerja seharian, kita mudah untuk beremosi. Oleh itu, kita perlu mencari ruang dan masa untuk menenangkan fikiran dan larikan diri daripada dunia kota yang terlalu sibuk.

MERSING? Adakah anda pernah mendengar namanya yang merupakan antara salah satu tempat kunjungan yang mesti ada dalam ‘bucketlist’ setiap orang. Mersing yang sinonim dengan keindahan pulau-pulau boleh menarik perhatian ramai pelancong untuk datang bercuti bagi menenangkan fikiran dan merehatkan badan. Mersing menjadi salah satu destinasi yang menjadi impian para pengunjung kerana daerah ini mempunyai kepulauan yang menarik untuk berlibur. Jom “explore” aktiviti yang menarik di pulau sekitar Mersing.

Berikut senarai pulau-pulau yang cantik di Mersing untuk anda kunjungi:

PULAU SIBU

Pulau Sibu merupakan salah satu gugusan pulau-pulau yang berada di sekitar Mersing. Lokasinya 12 KM dari tanah besar negeri Johor. Walaubagaimanapun, untuk pergi ke Pulau Sibu tidak sama seperti ke pulau lain yang melalui jeti penumpang mersing, mereka perlu melalui jeti Tanjung Leman kerana jarak yang lebih dekat. Terdapat pulau-pulau yang berdekatan dengan Pulau Sibu seperti Pulau Sibu Besar, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Kukus dan Pulau Sibu Hujung. Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan di pulau ini antaranya ialah:

  1. Scuba diving
  2. Snorkeling
  3. Memancing
  4. Berkanu (canoeing)
  5. Jungle Trekking

Untuk penginapan, di sini terdapat beberapa buah resort yang boleh anda menginap antaranya ialah Sari Pacifica Resort & Spa, Rimba Resort dan Sibu Island Resort.

Pulau sibu

Pulau Sibu

PULAU TINGGI

Pulau Tinggi sangat terkenal dengan pemandangan air laut yang sangat cantik. Ia juga sering dikaitkan dengan pemandangan air laut seperti di Maldives. Jika pengunjung ingin merasai seperti berada di Maldives, pulau ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pilihan berbulan madu. Pulau ini mempunyai air laut yang sangat cantik seperti di Maldives dan masih terjaga. Pulau Tinggi berbentuk bujur yang dikelilingi dengan beberapa pulau kecil yang lain seperti Pulau Apil, Pulau Ibol, Pulau Lanting, Pulau Mentinggi dan Pulau Simbang. Pulau-pulau ini masih dihuni oleh penduduk yang hampir 500 orang dan mempunyai hutan paya bakau yang menjadi tarikannya. Pantainya mempunyai pasir putih yang cantik, bersih dan masih terjaga. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di pulau ini ialah:

  1. Melihat kelip-kelip pada waktu malam di hutan bakau
  2. Berkelah air terjun
  3. Aktiviti sukan air seperti berkanu
  4. Menyelam di tapak terumbu karang

Manakala resort atau chalet yang ada di pulau ini ialah Shaz Resort, Tad Marine Resort dan Tok Mok Chalet.

pulau tinggi

Pulau Tinggi

PULAU PEMANGGIL

Pulau ini cukup dikenali kerana penduduknya yang kurang ramai. Ia juga dikenali dengan keindahan alam semulajadi dan sebuah pulau yang terjaga dari segi persekitaran. Uniknya, penduduk Pulau Pemanggil masih menggunakan bahasa pulau apabila bertutur meskipun tidak ramai yang mengetahuinya. Selain itu, pulau ini mempunyai pemandangan yang cantik dan air laut yang jernih sehinggkan boleh dilihat dasarnya. Aktiviti yang boleh dilakukan ialah:

  1. Aktiviti sukan pantai seperti bola tampar pantai
  2. Snorkeling
  3. Melihat matahari terbit dan terbenam
  4. Jelajah batu buau (boleh dbincangkan dengan staf resort)

Manakala, tempat penginapan yang boleh menjadi pilihan adalah seperti Lanting Beach Resort dan Pemanggil Holiday Heaven Chalet.

pulau pemanggil

Pulau Pemanggil

PULAU AUR

Fakta menarik bagi tempat ini adalah merupakan pulau yang paling jauh bagi semenanjung Malaysia dan terletak diperairan laut cina selatan. Pulau ini juga terkenal kerana keindahan coral yang sangat cantik kerana “water pollution” agak minimal dari tempat lain. Berhadapan pulau aur ini terdapat pulau dayang yang juga terkenal dengan keindahan air laut dan pasir pantainya yang cantik. Selain Pulau Dayang terdapat juga Pulau Lang yang mempunyai tarikan terumbu karang yang yang cantik dan masih terjaga. Aktivi yang boleh dilakukan di pulau ini ialah:

  1. Aktiviti memancing dan snorkeling
  2. Aktiviti sukan pantai seperti bola tampar pantai dan berkarang
  3. Melihat matahari terbenam di pantai
  4. Hiking Bukit Letak Semalu
  5. Hiking di Batu Cina

Aktiviti yang dilakukan disini bergantung kepada tempat anda menginap kerana ia termasuk dalam pakej. Antara resort/chalet yang boleh dijadikan tempat penginapan ialah Bluewater Resort, Sebukangbay Resort, Giligan’s Dive Resort, Penawar Chalet Teluk Pahanan, Selayang Beach Chalet dan Dayang Resort.

Pulau Aur

Pulau Aur

PULAU BESAR

Pulau Besar merupakan pulau yang paling dekat dengan daratan Mersing. Pulau ini dahulunya dikenali sebagai Pulau Babi Besar. Melalui beberapa info dan sejarah, pulau ini pada amnya mempunyai banyak haiwan khinzir dan oleh sebab itu pulau ini digelar sebagai pulau babi besar. Namun, hanya terdapat penduduk tempatan serta pelancong yang menginap disini. Walaupun pulau ini sering dikaitkan dengan haiwan tersebut, namun ia masih menjadi pilihan dan sering dikunjungi oleh pelancong. Antara aktiviti yang boleh dilakukan di pulau ini ialah:

  1. Berkanu
  2. Bola tampar pantai
  3. Mandi pantai
  4. Melihat matahari terbenam dan terbit
  5. Island Hopping

Resort yang terkenal di pulau ini ialah Bayu Lestari Resort, Aseania Beach Resort dan D’Coconut Resort.

pulau besar

Pulau Besar

PULAU RAWA

Pulau rawa cukup dikenali kerana pulau ini sering menjadi tumpuan bagi mereka yang menginginkan percutian lebih privasi. Pulau ini menjadi salah satu destinasi yang menarik bagi mereka yang menginginkan percutian yang lebih privasi. Antara aktiviti yang menarik di sini ialah:

  1. Berenang
  2. Menikmati suasana waktu senja
  3. Aktiviti pantai
  4. Snorkeling

Resort yang boleh diduduki untuk menginap ialah Rawa Island Resort dan Alang’s Resort.

pulau rawa

Pulau Rawa

PULAU TENGAH

Pulau ini sedikit berbeza berbanding dengan pulau lain yang dikenali disebabkan pemandangan atau kedudukannya. Pulau Tengah dikenali disebabkan oleh terdapat resort yang terkenal iaitu Batu-batu Resort. Batu-batu Resort merupakan sebuah resort yang mengekalkan penjagaan alam sekitar. Hal ini kerana, Pulau Tengah telah diisytiharkan sebagai Tunku Abdul Jalil (TAJ) Conservation Centre pada 4 September 2018. Batu-batu Resort merupakan tempat yang privasi dan sering menjadi pilihan pelancong dari luar negara. Harga penginapan di resort ini juga lebih mahal berbanding pulau lain yang terdapat di Mersing. Aktiviti yang disediakan disini juga perlu selari dalam usaha untuk memelihara dan memulihara alam semulajadi.

pulau tengah

Pulau Tengah

PULAU HUJUNG

Pulau Hujung adalah pulau yang menjadi pilihan bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti Island hopping. Pulau ini mempunyai pemandangan yang cantik kerana disaluti dengan terumbu karang yang ada di dalam laut. Pulau Hujung juga sering menjadi pilihan nelayan tempatan untuk melakukan aktiviti memukat. Bagi pengunjung yang mengunjungi ke pulau ini, aktiviti yang boleh dilakukan ialah mandi pantai, berkanu, aktiviti pantai dan melihat matahari terbenam

pulau hujung

Pulau Hujung

Sebagai info tambahan, Mersing juga menjadi pilihan bagi para pelancong yang ingin pergi bercuti ke Pulau Tioman. Hal ini kerana perkhidmatann ferry ke Pulau Tioman turut di sediakan di Jeti Penumpang Mersing. Selain itu, Pulau Sribuat adalah merupakan pulau yang terletak di Negeri Pahang tetapi juga terkenal di daerah Mersing. Bagi anda yang tertanya-tanya mengapa Pulau Harimau tidak tersenarai dalam kategori pulau yang mempunyai pelbagai aktiviti, hal ini kerana pulau ini merupakan pulau larangan bagi semua kegiatan aktiviti. Untuk melakukan aktiviti di Pulau Harimau, perlulah mendapatkan kebenaran dari pihak Pejabat Daerah Mersing.

 

Disediakan oleh:

Sakinah

Baca Artikel Lain: